Menjaga hidayah lebih sulit dari mengenal hidayah...

7 Disember 2010

Tahun Demi Tahun Berlalu… ( Muhasabah Maal Hijrah )

Posted by Syifa' Nurhidayah at 8:49 PTG Tahun baru, apakah kita telah persiapkan perancangan untuknya?
Ah, sudah masuk tahun hijrah 1432.

Ramai orang kecoh sambut awal muharram. Adakah anda salah satu daripadanya? Saya yakin kebanyakan blog dan website juga sedang penuh dengan artikel berkenaan tahun baru Islam ini. Mungkin rakan-rakan di iLuvIslam pun giat membuat wallpaper-wallpaper menarik berkenaan 1 Muharram, hijrah.

Sudah berapa kali anda menyambut Ma’al Hijrah?

Kalau saya, sudah 18 kali – termasuk masa bayi –

Tahun demi tahun berlalu, maka apakah yang telah kita lakukan?

Tahun-tahun Yang Telah Berlalu

Anda umur berapa?

Berapa tahun telah berlalu di belakang anda?

10? 20? Atau mungkin 50? 60?

Soalan mudah daripada saya untuk kita semua – Apa yang telah kita lakukan pada tahun-tahun yang telah berlalu? Apakah ia bermakna? Apakah ia boleh dikira sebagai kehidupan? Atau anda adalah jenis manusia yang tidak memandang masa-masa lalunya untuk diambil pengajaran?

Imam Al-Ghazali ada berkata bahawa: “Yang paling jauh adalah masa yang telah berlalu”

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-‘Asr yang sangat masyhur:

“Demi Masa, Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian”

Ketahuilah, tahun-tahun yang lepas itu langsung tidak akan kembali. Maka kenapa kita tidak memandagnya dan mengambil pengajaran agar kesilapan sama tidak berulang lagi?

 Tahun Yang Sedang Kita Lalui

Anda sedang berada pada tahun apa?

Adakah kita membina perancangan untuk menjalani kehidupan kita pada tahun yang sedang dilalui? Adakah kita faham bahawa tahun yang anda lalui ini adalah satu kenyataan? Adakah kita nampak bahawa tahun yang sedang kita lalui ini adalah satu-satunya peluang yang realitis, yang wujud di hadapan kita kali ini?

Tahun-tahun yang telah berlalu tak akan kembali. Tahun-tahun yang mendatang belum pasti lagi. Tetapi tahun yang sedang kita berjalan, hidup di atasnya adalah realiti. Ini peluang daripada Ilahi, tanda kasih-sayang-Nya kepada kita, hamba-Nya yang berdosa. Masa untuk pengampunan, masa untuk taubat, masa peningkatan diri, masa pembersihan hati masih terbuka dengan luas.

Maka dengan sikap yang bagaimanakah kita melayan peluang yang realitis ini?

Dengan terus bermalas-malasan? Dengan merasakan masa masih banyakkah?

Atau menggapainya dengan penuh kesungguhan, mengisinya seakan-akan inilah kesudahan?

Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:

“Barangsiapa yang hari ini lebih bagus dari semalam, maka dia dari kalangan yang beruntung. Barangsiapa yang hari ininya sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang merugi. Barangsiapa yang hari ininya lebih teruk dari semalam, maka dia dari kalangan yang celaka”

Tepuk dada, tanyalah iman.


 Tahun-tahun Yang Mendatang

Agak-agak, berapa tahun lagikah yang anda akan tempuhi dalam hidup?

Rata-rata jawapannya adalah tidak tahu.

Di sinilah kita perlu melihat betapa tahun-tahun yang mendatang belum berubah dari fantasi kepada realiti untuk kita. Tetapi, apakah salah merancang?

Tidak. Malah untuk saya, adalah baiknya seseorang itu merancang perjalanan kehidupannya sekitar 10 tahun ke hadapan. Dia hendak jadi apa, bila hendak berkahwin, nak belajar macam mana, pada sekian peringkat hidup apa akan dia lakukan, pada sekian peringkat hidup apa yang perlu dia capai.

Merancang masa hadapan bukanlah sama dengan apa yang dikatakan dengan berangan-angan. Merancang kehidupan adalah untuk kita lebih kemas dan sistematik dalam mencapai matlamat kehidupan. Jika hendak menjadi pelajar yang hebat perlukan perancangan, apatah lagi hendak menjadi hamba Allah SWT yang baik?

Maka, sekarang apa?

Sengaja saya timbulkan persoalan-persoalan. Tahu apa masalah manusia?

Masalah manusia adalah memandang ringan akan kehidupannya. Adakah kehidupan kita ini untuk bermain-main sahaja? Kita hakikatnya akan dikembalikan kepada Allah SWT.

“Apakah kamu mengira, Kami menciptakan kamu untuk bermain-main sahaja? Sedangkan kamu kepada Kami tidak akan dikembalikan?” Surah Al-Mukminuun ayat 115.

Adakah hakikat itu satu perkara kecil yang boleh kita pandang entengkan?

Pernahkah anda membayangkan, kita yang kecil ibarat kuman, kerdil tersangat kerdil ini berdiri di hadapan TUHAN Yang Maha Besar, Yang Maha Kuat, Yang Maha Berkuasa, di akhirat nanti? Masa itu agaknya apakah yang akan kita suarakan, apabila Dia Yang Maha Suci itu bertanya:

“Masamu dahulu, apakah yang kau telah lakukan dengannya?”

Mengingatkan ini, jiwa saya terasa sempit.

Maka sekarang apa? Sekarang kita masih hidup. Dipanjangkan umur merentas tahun. Maka siapakah antara kita yang dosanya dia hitung? Maka siapakah antara kita yang amal kebaikannya digiat tambah?

Atau kita rasa kita dalam zon yang selamat, dan kehidupan kita adalah kehidupan yang gerenti melepaskan kita daripada neraka Allah SWT?

 Bukan sekadar pesta

Maka saya doakan anda, juga diri saya, agar kita merentasi tahun ini dengan rentasan penuh muhasabah. Rentasan penuh kesedaran.

Kita tidak mahu tahun baru ini lebih buruk dari tahun yang telah berlalu.

Tidakkah kita merasakan, jika kita melakukan demikian maka kita telah melakukan satu pengkhianatan?
Bergeraklah wahai jiwa-jiwa yang mengakui bahawa dirinya adalah hamba Allah.

Bergeraklah mencapai redha-Nya.

Apakah kamu menyangka, kita akan dimuliakan hanya dengan sikap bermain-main kita? Menyambut Awal Muharram dengan nasyid-nasyid, perarakan, beberapa program di televisyen, beberapa semarak artikel di akhbar, dan kita merasakan itu semua mencukupi sebagai satu manifestasi bahawa kita hendak melakukan yang terbaik?

Mustahil. Saya menggeleng kepala. Awal Muharram bukan pesta untuk kita. Kita perlu mendalami diri kita, kehidupan kita, memandang semula ke belakang, melihat pula masa hadapan, dan memerhatikan apa yang patut kita lakukan sekarang.
Seriuslah kita dalam menjadi hamba-Nya.

Semoga 1432H ini, satu tahun reformasi untuk kita sebagai hamba Allah SWT yang terbaik.

by Abu Hanifah on Monday, December 6, 2010 at 8:56pm
Reactions: 

0 comments on "Tahun Demi Tahun Berlalu… ( Muhasabah Maal Hijrah )"

© Hadza Min Fadhli Rabbi, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena